Sunday, February 14, 2010

USUL 2 - SUKAN : Harimau Muda ke Slovakia ; Pilihan Tepat

Skuad Harimau Muda Negara ke Liga Slovakia!

Sumber dari Berita Harian, 2 Feb 2010

LAMBAIAN Slovakia kini terpancar di mata setiap pemain skuad Harimau Muda A kerana negara itulah yang akan menjadi destinasi mutakhir untuk menimba pengalaman paling berguna selepas impian beraksi di tanah air sendiri tidak kesampaian.

IMBAS KEMBALI…pemain Harimau Muda meraikan kejayaan selepas muncul juara Liga Perdana 2009.
Gelaran selaku juara Liga Perdana musim lalu umpama racun apabila sebahagian besar wakil persatuan bola sepak (FA) negeri yang menduduki kerusi ahli majlis Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menolak penyertaan pasukan itu.

Sudahnya, nasib skuad bimbingan ketua jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah itu terumbang-ambing dan usaha FAM membolehkan mereka beraksi di Liga-S juga ditolak Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).




Mujurlah, Slovakia hadir memberi jawapan yang cukup menggembirakan apabila Harimau Muda A dibenarkan beraksi di dalam Liga Divisyen Satu negara berkenaan dan Exco FAM yang bersidang petang semalam, mengesahkan perkara berkenaan.

“Harimau Muda A akan beraksi di Slovakia dan menyertai Liga Divisyen Satu negara itu. Mereka akan diletakkan di dalam Liga Bawah 21 Tahun. Liga berkenaan akan bermula Februari dan dijangka berakhir Mei nanti.


“Sepanjang tempoh itu, skuad Harimau Muda A akan mengharungi 14 perlawanan di peringkat liga dan itu belum dicampur dengan perlawanan persahabatan yang sudah kita aturkan untuk mereka ini,” kata Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad.

Jawapan itu sekali gus melenyapkan semua teka-teki mengenai nasib serta masa depan Harimau Muda A yang menjadi isu utama sebelum ini kerana skuad berkenaan dikhabarkan bakal mempertahankan emas Sukan Sea yang dimenangi di Laos, hujung tahun lalu.

“Untuk tahun ini, beraksi di Liga Slovakia adalah yang terbaik buat skuad Harimau Muda A dan untuk tahun depan, kita akan lihat peluang mereka kembali disenaraikan di dalam Liga-M.

“Saya yakin walaupun ia hanya membabitkan lapan pasukan di dalam Liga Bawah 21 Tahun tetapi pemain Harimau Muda A akan mendapat pendedahan yang cukup baik,” kata Redzuan.

Pengumuman itu juga selaras dengan apa dihajati FAM sebelum ini iaitu mahu terus membiarkan anak buah Azraai Khor itu berganding sebagai satu pasukan walaupun ada cadangan yang meminta badan induk kebangsaan itu menyerap pemain skuad terbabit ke dalam pasukan negeri yang sedang bermain di Liga-M.

FAM bagaimanapun kurang bersetuju dengan cadangan itu dan Redzuan berpendapat kaedah itu boleh menjejaskan prestasi pemain skuad Harimau Muda A terutama daripada segi tahap kecergasan masing-masing.

“Kita tidak mahu lagi ada alasan seperti pemain tidak cergas dan sebagainya. Ada negeri yang tidak mempunyai kelengkapan yang secukupnya dan kita bimbang tahap kecergasan pemain akan terjejas,” katanya
.

No comments:

Post a Comment